ALOR SETAR - Seorang usahawan muda tidak menyangka
perkenalan singkatnya dengan seorang gadis di laman sosial Facebook membawa
kepada perkahwinan Syiah.
Irfan Amar (bukan nama sebenar), 30, mengenali wanita warga
Thailand itu pada 2010 sebelum mengambil keputusan untuk bertunang kira-kira
sebulan kemudian.
Perwatakan lemah lembut dan penuh sopan wanita berusia 19
tahun ketika itu membuatkannya terpesona pada pandangan pertama.
Difahamkan, ahli keluarga wanita itu menetapkan tarikh
pertunangan mereka pada pertemuan kali pertama di rumah mereka di negara jiran.
“Segalanya bermula perkenalan kami di laman sosial. Oleh
kerana niat ikhlas untuk bernikah dan menamatkan zaman bujang, saya mengambil
keputusan untuk mengenalinya lebih rapat.
“Saya mengambil keputusan untuk ke rumahnya di Thailand
untuk mengenali keluarganya terlebih dahulu. Proses perkenalan itu berjalan
dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, keraguan itu mula timbul setelah didesak
bernikah dengan tergesa-gesa sedangkan perkenalan mereka baru sebulan.
“Setibanya di rumah wanita itu, kami sekeluarga terkejut
apabila niat untuk berkenalan bertukar kepada penetapan tarikh bertunang.
“Kami menjadi serba salah dan terkejut dengan cara yang
dibuat oleh keluarga wanita itu. Seolah-olah saya dan keluarga terperangkap,”
katanya.
Bagaimanapun, mereka beranggapan baik dan bersetuju untuk
menetapkan tarikh pertunangan kira-kira sebulan kemudian.
“Selepas bertunang, keluarga mereka mendesak kami lagi
supaya pernikahan itu disegerakan seolah-olah tidak memberi kami peluang
menetapkan tarikh, mengenal keturunan mereka dan dipaksa dengan cara yang amat
halus.
“Atas desakan dan singkatnya tempoh perkenalan itu, kami
bertunang dan akad nikah di negara jiran. Saya masih beranggapan baik pada
ketika itu,” katanya.
Irfan berkata, mereka bernikah pada tahun 2011 mengikut
pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah tanpa dihadiri oleh ahli keluarganya.
“Saya mula menyedari mereka adalah dari keluarga Syiah
apabila kami tidak dibenarkan bersama selagi tidak bernikah kali kedua iaitu di
sebuah rumah dekat belakang Masjid Hutan Kampung, Alor Setar.
“Akad nikah kali kedua itu pelik apabila ia dilakukan oleh
pasangan perempuan dan dilafazkan dalam bahasa Arab. Dalam akad itu juga saya
terdengar satu perkataan mut’ah iaitu kahwin kontrak,” katanya.
Anak ketiga dari empat beradik itu kemudian merujuk kejadian
itu dengan Pejabat Agama Daerah Kota Setar semasa melakukan proses pendaftaran
nikah.
“Setelah dinasihatkan oleh pegawai pejabat agama, saya
berasa sedikit tenang dan mengambil langkah berjaga-jaga.
“Bagaimanapun, saya dan isteri sukar menerima kenyataan
serta sering bertengkar mengenai isu sunnah dan Syiah,” katanya.
Irfan berkata, isterinya turut mengakui secara terus terang
mengamalkan Syiah selain ibu bapanya juga berpegang kepada amalan itu.
“Pernah kami bertengkar mengenai ketaatannya kepada suami,
namun dia menyatakan bahawa syurga seorang isteri terletak pada bawah kaki
ibunya sendiri.
“Tetapi setiap kali bergaduh mengenai fahaman Syiah dan
sunnah, dia menyatakan pula tidak mengikut jejak langkah keluarganya dan masih
pengikut fahaman sunnah. Saya masih ragu mengenai perkara itu,” katanya.
Beliau mendakwa pernah dibawa melawat markas Syiah di
Pendang beberapa kali dan pemimpin itu juga pernah melawat isterinya ketika
melahirkan anak di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, pada 2013.
“Saya meneliti setiap pergerakannya dalam melaksanakan
tanggungjawab. Anak seringkali dibiarkan menangis dan memandikan anak pun lebih
kurang sahaja.
“Pernah juga dia keluar rumah tanpa keizinan saya beberapa
kali dan sibuk dengan aplikasi laman sosial di telefon pintar,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu mencabar nalurinya sebagai seorang
suami yang memendam rasa sekian lama dan terpaksa menceraikan isterinya pada 1
April lalu.
“Setelah berpisah, ia menjadi satu tekanan kepada saya
kerana anak perempuan yang kini berusia dua tahun berada dalam jagaan bekas
isteri," katanya.
Irfan tidak mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan itu bagi
mendapatkan hak penjagaan anaknya.
“Mungkin saya tidak banyak bukti, tapi di rumah mertua
memang tersimpan banyak kitab Syiah," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap mendapat banuan pihak
tertentu bagi mendapatkan semula hak penjagaan anak perempuannya itu.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment