Friday, September 25, 2015

Peminat tinju rupanya...

11:23 AM No Comments

Selain melakar populariti sebagai bintang bola sepak, Wayne Rooney (gambar) turut dikenali sebagai penggemar sukan tinju dan kapten Red Devils itu mendedahkan bahawa dia dan beberapa rakan sepasukannya juga meminatinya.

Pengurus United, Louis va Gaal tidak perlu bimbang jika anak buahnya pergi menonton tinju bersama asalkan tidak menyertai perlawanan.

Rooney memberitahu bahawa dia dan rakan pemain seperti Ashley Young, Michael Carrick dan Victor Valdes gemar berehat di hotel pasukan sebelum perlawanan dan menonton perlawanan tinju di televisyen sekiranya berkesempatan.

Antara perlawanan paling diingati adalah pada November dua musim lalu, sebelum United seri 2-2 dengan Cardiff City.

Menurut Rooney, malam sebelum perlawanan itu adalah pertarungan pertama Carl Froch menentang George Groves dan ia pertarungan yang menarik perhatian seluruh pasukan Old Trafford.

“Kami menonton perlawanan pertama Carl Froch menentang George Groves, perlawanan menentang Cardiff diadakan di tempat lawan,” kata penyerang berkenaan.

“Kami berada di hotel dan menonton perlawanan di layar besar jadi semua orang dapat menontonnya.

“Ia berlaku ketika David Moyes menjadi pengurus, malah beliau juga meminati tinju.

“Sewaktu Froch jatuh separuh daripada kami melompat dan separuh lagi sudah kehabisan tenaga. Ia perlawanan hebat untuk disaksikan bersama pasukan.”

Minat Rooney terhadap tinju bermula sejak kecil lagi di mana dia akan menyertai sukan itu bersama bapa saudara dan sepupunya.

Dia juga bersahabat baik dengan peninju empat beradik dari Liverpool iaitu Paul, Stephen, Liam dan Callum Smith sejak kecil lagi.

Malah pemain berusia 29 tahun itu me­ngakui suka menonton pertarungan hebat di televisyen biarpun kadang kala tersengguk menunggu perlawanan dari seberang Lautan Atlantik berikutan perbezaan masa.

“Saya masih ingat perlawanan di antara Mike Tyson dan Lennox Lewis di Amerika Syarikat dan ia masih belum disiarkan sehingga jam tiga pagi,” katanya.

“Saya akan berjaga dengan bapa dan adik beradik untuk menonton perlawanan itu. Ia kena­ngan yang tidak mungkin anda lupakan.

“Kadang-kala kami pergi ke rumah sepupu untuk menontonnya dan mereka juga akan datang ke rumah kami.

“Sering juga saya cuba berjaga malam tetapi kemudiannya tertidur dan terlepas perlawanan itu.

“Tinju adalah darah daging saya dan sesuatu yang saya suka lakukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:36 AM




0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger