JOHOR BAHRU - Keghairahan masyarakat hari ini berkongsi
sebahagian kehidupan peribadi mereka melalui status-status di laman media
sosial perlu ditapis dengan tindakan lebih berhati-hati.
Menurut pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi
Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Syed Mohamed Shafeq Syed Mansor Al-Habshi
berkata, budaya gemar memuat naik status dalam apa jua perbuatan ini didorong
naluri manusia yang gemar berkongsi cerita.
Menurutnya, gejala yang semakin menular dalam kalangan
masyarakat pada masa kini disebabkan mereka suka berkongsi sesuatu perkara
tanpa mereka ketahui betapa batasan perkara itu telah merebak dan ada kalanya
disalah erti sesetengah pihak hingga menjadi viral termasuk perkara remeh.
“Pada asalnya mungkin mereka berniat untuk berkongsi apa jua
yang dilakukan tidak kiralah ke mana lokasi mereka pergi, tempat mereka makan
atau apa sekalipun jua yang sedang dilakukan dan kesemuanya berasas pada
perasaan, fikiran dan perbuatan.
“Namun, dalam hal media sosial ini boleh dikira lebih kepada
soal perasaan. Mungkin mereka berasakan sukar untuk pergi ke satu-satu tempat
itu atau sukar untuk makan makanan tersebut, jadi mereka muat naik lokasi
percutian mereka serta juadah yang dijamu atau sebagainya.
“Jadi, mereka juga mungkin terlupa atau tidak perasan atau
itu semua bukannya bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Ini kerana mungkin memberi
kesan kepada sesetengah individu hingga menghiris perasaan mereka yang tidak
memilikinya,” katanya.
Syed Mohamed Shafeq berkata, setiap individu mempunyai
pandangan positif atau negatif dalam mentafsir apa jua perkara yang dimuatnaik
dalam laman media sosial ini.
“Ada benda individu itu boleh ceritakan, ada benda saya kira
tidak patut diceritakan. Kadang-kala kita mungkin berpendapat hanya sebarkan
satu-satu perkara itu dalam kalangan kumpulan kita sahaja, namun siapa tahu ia
disebarkan ke ruang yang lebih luas di luar pengetahuan kita atas sebab
tertentu.
“Sekarang ini ramai tidak perasan banyak pihak terlalu
ghairah iaitu salah satu bentuk perbuatan sehingga menutup fikiran mereka untuk
turut lakukan perkara yang sama (muat naik status) dan mungkin mewujudkan rasa
alpa atau lalai.
“Misalnya pada satu gambar sahaja kini yang dimuat naik
memberi makna yang pelbagai. Masing-masing mempunyai tafsiran yang tersendiri.
Kita pula sebagai penerima tidak boleh hentikan orang berfikiran negatif,”
katanya.
Justeru, beliau menasihatkan agar pengguna media sosial
lebih berhati-hati tatkala menggunakan kemudahan media pada era globalisasi
serta tidak memuat status yang tidak sepatutnya hingga memudaratkan diri.
“Saya telah nyatakan tadi bahawa naluri manusia sememangnya
suka berkongsi cerita kerana perasaan seronok mereka itu atas satu-satu perkara
yang dilakukan. Tetapi, terpulang pada individu lain untuk menerima rasionaliti
dan pemikiran mereka sama ada positif atau sebaliknya.
“Kalau boleh janganlah sampai menyusahkan orang lain. Fikir
sebaik-baiknya sebelum melakukan sesuatu perkara itu. Sekarang ini sudah ada
kumpulan ‘whassup’, dari sudut positifnya, kita dapat merapatkan hubungan
sesama kita dengan berkongsi pendapat.
“Namun, perlu diingatkan supaya setiap ahli dalam kumpulan
‘whassup’ itu bertanggungjawab dan menjaga etika sebagai kawan serta tidak
menyebarkan satu-satu perkara yang tidak pasti itu kepada kumpulan atau pihak
yang lain.
“Pembaca perlulah mengelak menjadi penyebar berita kecuali
perkara itu telah benar-benar sahih seperti telah keluar di berita atau
sebagainya. Alangkah malunya jika berita itu tidak benar menyebabkan
terhakisnya kepercayaan rakan kepada kita,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment