KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein berkata transkrip perbualan antara juruterbang MH370
dan pengawal trafik udara (ATC) akan hanya didedahkan jika pakar-pakar
memberikan kebenaran.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan mengenai
komunikasi terakhir di antara juruterbang dan ATC, yang dikatakan mempunyai dua
versi transkrip yang didedahkan kepada
orang ramai.
Hishammuddin berkata beliau tidak pasti sama ada kenyataan
itu dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
"Saya tidak berapa pasti mengenainya tetapi saya boleh
sahkan penglibatan saya dalam penyiasatan itu yang berkaitan dengan FBI sejak
dari hari pertama.
"Transkrip adalah sebahagian daripada penyiasatan ini.
Jika ia amat penting buat anda, saya akan bercakap dengan pakar-pakar dan
bertanya kepada mereka jika ia boleh didedahkan. Jika ia boleh didedahkan, kami
akan mendedahkannya," katanya dalam sidang akhbar mengenai operasi mencari
itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata semua panel siasatan telah
ditubuhkan dan kebenaran akan dibuktikan.
"Pada dasarnya, jika anda bertanyakan soalan yang
merupakan sebahagian daripada siasatan, mengenai transkrip, anda perlulah
bersikap adil kepada kami kerana hanya mereka yang melakukan siasatan itu yang
boleh memberikan kata 'OK'."
Hishammuddin berkata pada akhirnya nanti, beliau yang perlu
berdepan dengan suruhanjaya diraja atau jawatankuasa pilihan Parlimen serta
lembaga siasatan antarabangsa.
"Kami tidak menyembunyikan apa-apa. Kami hanya mengikut
prosedur yang telah ditetapkan," tegas beliau.
Ditanya mengenai maklumat penyiasatan berkaitan transkrip
temu bual dengan isteri juruterbang pesawat itu, yang dikatakan didedahkan oleh
polis kepada The Daily Mail yang berpejabat di London, beliau berkata ia tidak
didedahkan pihak polis.
"Dan bagaimana Daily Mail mendapat transkrip itu. Itu
anda perlu tanya kepada Daily Mail," kata Hishammuddin.
Mengenai isu maklumat yang didedahkan di luar sidang akhbar
dan spekulasi mengenai diagram dalam
Google atau laman internet yang lain, katanya beliau tidak dapat mengesah atau
mengetepikannya.
"Saya tidak boleh sahkan atau ketepikan. Saya hanya
boleh melakukannya berdasarkan apa yang telah saya sahkan dalam PC (sidang
akhbar) saya. Saya tidak mahu membahaskannya di sini. Kami mengadakan PC setiap
hari. Jika itu adalah sesuatu yang kami maklumkan, saya akan akan
menjelaskannya," kata beliau. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment