KOTA BHARU - Padah buat seorang penganggur kerana menampar
mertua dan mengasari isterinya hanya kerana nasi, dia didenda RM3,000 oleh
mahkamah majistret, di sini.
Tertuduh, Nik Mohd Luqman Abdullah, 23, mengaku salah dengan
sengaja menyebabkan cedera kepada isterinya, Rosmanira Mahmood, 33, dengan
menyepak, memukul dan menendang dengan kaki dan tangan sehingga kena di muka,
tangan dan badan pengadu, Rabu lalu.
Tertuduh juga, mengaku menyebabkan cedera kepada ibu
mertuanya, Rahana Mustapha, 57, dalam kejadian sama di sebuah rumah di hadapan
Sekolah Kebangsaan Ketereh, di sini, pada jam 1.15 tengah hari itu.
Sebelumnya, pengadu menidurkan anak mereka yang berusia
setahun lima bulan dan tertidur. Bangun dari tidur, pengadu pergi ke dapur
untuk makan nasi tetapi dipanggil suaminya lalu pergi kepada suaminya di dalam
bilik.
Tertuduh kemudian bertanya, “dia (pengadu) buat apa” dan
pengadu memberitahu “dia hendak makan nasi,” namun suaminya berkata, “dia
(tertuduh) sendiri belum makan nasi, tak kan isteri mahu makan dahulu”.
Ibu pengadu yang juga ibu mertua tertuduh yang berada di
ruang tamu kemudian menyampuk, “takkan bini mu nak makan nasi tak boleh”,
menyebabkan tertuduh meluru dan menampar muka wanita itu. Pengadu datang untuk
leraikan keadaan, tetapi dia pula yang disepak, dipukul dan ditendang di kaki,
tangan, muka dan badan.
Akibatnya, pengadu mengalami bengkak dan lebam di pipi dan
sakit pada badan, manakala ibunya sakit di muka dan pecah serta berdarah di
bibir.
Pada prosiding itu, tertuduh mengaku tidak mempunyai wang
untuk menjelaskan denda. Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed kemudian
mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan dari tarikh dia
ditahan.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
apabila nafsu mendahului akal dan kewarasan... :)
ReplyDelete