Wednesday, December 17, 2014

Puteri Balqis: Diintai produksi luar

4:20 PM No Comments

Mula berlakon seawal usia 2 tahun, pelakon cilik berbakat besar Puteri Balqis Azizi, 7, sudah mampu duduk sebaris dengan pelakon handalan tanah air.

Dalam tempoh lima tahun terbabit dalam bidang seni sejak 2009, Puteri Balqis sudah menggenggam beberapa trofi di pelbagai majlis anugerah berprestij yang mengiktiraf sumbangan anak seni.

Terbaru, anak didik pelakon dan pengarah berkaliber, Erma Fatima yang lebih mesra disapa Aqish sudah membawa pulang dua trofi iaitu Pelakon Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin 2014 (ASK) (menerusi telefilem Balqis) dan Pelakon Wanita Terbaik pada Asian Television Awards 2014 di Singapura, baru-baru i

Apa yang membanggakan, Puteri Balqis turut mengalahkan finalis lain terutama aktres Joan Chen yang sudah lama mencipta nama dalam filem Hollywood seperti The Last Emperor dan Judge Dredd.


Sebelum ini, Puteri Balqis pernah memenangi Anugerah Artis Harapan Pantene pada ASK16 (2012) menerusi drama Pelarian.

Antara drama lakonannya, Gemilang, Bicara Hati, Berlari Ke Bintang,Takdir Qismah, Cinta Itu Milikku, Mencari Athirah, Hanya Dengan Bismillah, Zuriat Yang Tercalar, Aduh Sayang, Anak Lorong, Dimana Kan Ku Cari Ganti (Tribute To P Ramlee).

Anak tunggal kepada pasangan Azizi Aziz, 36 dan Norashikin Mohd Aziz, 31, ini dilahirkan tanggal 12 April 2007.

Ikuti temubual wartawan RAP, Ramlah Zainal (ramlah@hmetro.com.my) dengan Azizi untuk berkongsi misi dan perancangan masa depan anaknya itu dalam bidang seni tanah air.

RAP: Boleh komen sikit mengenai kemenangan Puteri Balqis dalam Asian Television Awards 2014 di Singapura, baru-baru ini?

AZIZI: Sebagai ayah pastinya saya berasa bangga dengan pencapaiannya itu. Saya juga percaya ia rezeki daripada Allah SWT berkat kerja keras Puteri Balqis dalam bidang lakonan selama ini.

RAP: Adakah kejayaan itu menjadi 'platform' buat Puteri Balqis mengembangkan bakatnya ke peringkat antarabangsa?

AZIZI: Saya memang ada perancangam untuk mengembangkan bakat lakonannya sekali gus menimba pengalaman dengan produksi luar negara. Selepas anugerah itu, ada pihak produksi Indonesia dan Disney Channel yang berminat untuk menawarkan Puteri Balqis berlakon.

Produksi dari Indonesia itu menerbitkan program kanak-kanak di Australia. Namun saya masih mempertimbangkan tawaran berkenaan.

RAP: Ada artis yang mula 'demand' selepas menang anugerah. Bagaimana dengan Puteri Balqis?

AZIZI:Tidak timbul soal 'demand' selepas menang anugerah kerana apa yang penting bayaran yang ditawarkan berbaloi dengan hasil lakonan diberikan. Alhamdulillah, Puteri Balqis tidak pernah putus menerima tawaran berlakon sampai sekarang. Antaranya dia berlakon dalam projek telefilem dan drama bersiri arahan Michael Ang ketika ini.

RAP: Boleh ceritakan pembabitan awal Puteri Balqis dalam lakonan?

AZIZI: Bakat seni Puteri Balqis dikesan selepas menjalani uji bakat ketika dia berusia 2 tahun. Semuanya bermula ketika kami dihampiri ejen uji bakat di Uptown Shah Alam di mana kami berniaga di situ. Selepas berjaya dalam uji bakat, Puteri Balqis terus ditawarkan menjadi pelakon tambahan dalam sebuah drama. Selepas drama itu, dia terus mendapat banyak tawaran berlakon sampailah sekarang.

RAP: Sebagai kanak-kanak, mungkin Puteri Balqis pernah menimbulkan masalah ketika di lokasi penggambaran?

AZIZI: Puteri Balqis berlakon bersandarkan minat yang mendalam dalam bidang seni. Dia tidak pernah mengadu penat atau menimbulkan masalah di lokasi penggambaran, setakat ini.

RAP: Mungkinkah bakat seni Puteri Balqis diwarisi daripada anggota keluarga yang lain?

AZIZI: Sebenarnya, bakat seni Puteri Balqis diwarisi daripada arwah datuknya, Mohd Aziz yang lebih dikenali sebagai Ken Arifin yang seangkatan dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee ketika di Studio Jalan Ampas dulu.

RAP: Bagaimana Puteri Balqis membahagikan masa antara karier lakonan dan pelajarannya?

AZIZI: Sebagai ibu bapa, kami tetap mengutamakan pelajaran Puteri Balqis kerana ingin memastikan dia menjadi pelakon yang berilmu pada masa depan. Walaupun sibuk berlakon, pelajarannya tidak terjejas kerana ada guru yang datang mengajar Puteri Balqis di rumah atau 'home school'. Selain itu, Puteri Balqis juga mengikuti kelas balet, piano dan memasak untuk kegiatan kokurikulumnya.

RAP: Siapakah pelakon yang menjadi idola atau sumber inspirasi Puteri Balqis dalam bidang lakonan?

AZIZI: Puteri Balqis impi untuk mencipta nama di Hollywood. Justeru, dia menjadikan bintang Hollywood iaitu Dakota Fanning dan Natalie Portman sebagai idolanya dalam bidang lakonan. Tidak ketinggalan, Tan Sri P Ramlee. Pada masa sama, dia banyak berguru ilmu lakonan dengan barisan pelakon senior di lokasi seperti Erma Fatima dan Ellie Suriaty.

RAP: Kenapa anda lebih selesa karier seni Puteri Balqis diuruskan ibunya sendiri berbanding bernaung di bawah syarikat pengurusan artis?

AZIZI: Sebagai ibu bapa, kami percaya lebih mudah untuk menguruskan kariernya sendiri berbanding pihak lain.

Dia juga masih kanak-kanak dan memerlukan pengawasan kami berdua.

RAP: Bagaimanakah anda mendidik Puteri Balqis di rumah?

AZIZI: Kami pastikan dia membesar sama seperti kanak-kanak lain. Puteri Balqis kanak-kanak yang periang dan berbeza dengan banyak watak sedih yang dilakonkannya di televisyen. Dia sangat meminati bidang seni dan mengisi masa lapang dengan menulis skrip dan membaca tafsir al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:09 AM

Sumber : http://www.hmetro.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger