Sunday, February 16, 2014

18,785 pendatang asing diperiksa dalam Ops 6P setakat ini

2:27 PM No Comments

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 18,785 pendatang tanpa izin diperiksa menerusi 603 operasi bersepadu 6P di seluruh negara dalam tempoh 24 hari operasi itu dilancarkan, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat.

Dalam tempoh 21 Jan hingga Jumaat lepas, sebanyak 4,660 pendatang dan 48 majikan ditahan dengan 3,978 pendatang dihantar pulang ke negara masing-masing, katanya selepas Operasi Bersepadu Fasa II di Flat Taman Pelangi, Juru di sini awal hari ini.

Beliau berkata antara premis yang diperiksa ialah tempat-tempat penginapan, taman perumahan, rumah kediaman, kilang, kedai, restoran, rumah urut, pusat hiburan dan tempat perjudian.

Operasi bersepadu dilancarkan 21 Januari lalu bagi memburu pendatang tanpa izin yang gagal mendaftar di bawah Program Khas Pengurusan Pendatang Asing Tanpa Izin serta mengesan majikan yang membenarkan premis mereka mengambil pendatang bekerja tanpa dokumen yang sah.

Sementara itu, dalam operasi di sini malam tadi, Aloyah berkata 428 rakyat asing diperiksa dan daripada jumlah itu 45 orang ditahan.

Mereka yang ditahan dalam operasi tiga jam bermula 11.30 malam itu ialah 26 rakyat Indonesia, Myanmar (10), Bangladesh (3), Nepal (3), India (2) dan seorang dari Vietnam, katanya.

Aloyah berkata hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa.

Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk dokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru, di sini, katanya. - BERNAMA

Sumber : http://www.bharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger