Monday, March 31, 2014

Jururawat mahu saman hospital kerana cuai

1:27 PM No Comments

HUTAN MELINTANG - PERAK. Seorang jururawat bercadang memfailkan saman terhadap sebuah hospital yang didakwanya melakukan satu prosedur rawatan tanpa mendapatkan persetujuan ahli keluarganya hingga dia terpaksa melakukan pembedahan kali kedua dalam tempoh 48 jam selepas melahirkan bayinya.

Dalam kejadian Februari lalu, Noralisa Mohd Malid, 29, mendakwa, tiub fallopio sebelah kirinya diikat oleh doktor pakar yang menjalankan pembedahan caesarean ke atasnya ketika dia melahirkan anak ketiganya di hospital itu.

Difahamkan, tindakan itu dibuat kerana terdapat lekatan pada dinding pelviknya berikutan saluran tiub mangsa cedera ketika pembedahan dilakukan.

Noralisa berkata, dia hanya mengetahui  keadaannya sehari selepas pembedahan apabila mendapati pembalut luka di abdomennya basah dan berdarah.

“Ketika doktor buat pemeriksaan, saya sempat tanya sama ada berlaku komplikasi semasa pembedahan dijalankan.

“Doktor itu kata, mereka telah mengikat tiub fallopio sebelah kiri saya kerana ada lekatan pada dinding pelvik.

"Doktor cuba untuk menanggalkannya namun secara tidak sengaja saluran tiub itu tercedera dan menyebabkan pendarahan tidak berhenti hingga mereka terpaksa ikat tiub itu bagi menyelamatkan nyawa saya,” katanya ketika ditemui rumahnya di Kampung Parit 13, semalam.

Noralisa berkata, apa dikesalkannya ialah doktor yang memberitahu perkara itu kepadanya tidak langsung menunjukkan rasa kesal walhal ia adalah satu perkara besar buat dirinya memandangkan tiub fallopio kirinya kini tidak berfungsi.

Katanya, selepas pembedahan, dia berasakan perutnya semakin sakit dan kain  dipakainya turut ditembusi darah daripada pembalut luka pembedahan.

“Saya terpaksa tunggu agak lama untuk doktor datang buat pemeriksaan dan saya menggigil menahan kesakitan di perut.

“Apabila doktor datang dan periksa luka, dia jerit dan mengatakan usus perut saya terkeluar menerusi luka pembedahan. Saya juga melihatnya," katanya.

Noralisa berkata, dia terpaksa menjalani pembedahan kali kedua dalam tempoh tidak sampai 48 jam oleh doktor pakar lain dan masalah tersebut didakwa berpunca daripada kecuaian doktor yang membedahnya sebelum ini.

Katanya, dia kini trauma dan kesal dengan apa yang terjadi serta telah membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Sunday, March 30, 2014

Pasangan Philip Wood percaya pesawat tak terhempas

9:48 AM 1 comments

SHAH ALAM – Pasangan kepada salah seorang penumpang pesawat MH370, Philip Wood iaitu Sarah Bajc percaya pesawat itu tidak terhempas.

Sebaliknya, beliau dalam satu temu bual dengan saluran BBC News merasakan seolah-olah wujud motif lain di sebalik kehilangan pesawat tersebut.

“Setiap jenayah mesti ada niat dan motif di sebaliknya. Ada 30 jurutera pertahanan dalam pesawat itu dengan kemahiran yang unik.

“Mereka boleh menjadi sesuatu yang berharga untuk mana-mana negara yang mencari kelebihan untuk peralatan tentera mereka. Ada banyak motif di sebaliknya, tapi saya tak nampak ada motif untuk seseorang membuatkan pesawat terhempas,” katanya.

Menurut Bajc, beliau tidak memiliki kepakaran dan hanya membuat andaian berdasarkan common sense.

Namun, katanya, pandangan sama juga banyak disuarakan pakar penerbangan dalam laman Facebook yang diwujudkan dengan nama ‘Finding Philip Wood’.

“Kebanyakannya berpandangan pesawat itu dirampas, bukannya terhempas. Jadi saya pelik mengapa usaha pencarian hanya tertumpu di lautan.

“Saya percaya ada sesuatu berlaku disebaliknya dan ramai merasakan kerajaan cuba mengelirukan kami,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Cerita aneh 'penumpang MH370'

9:34 AM No Comments

SHAH ALAM – Cerita Philip Wood, seorang eksekutif syarikat komputer IBM yang juga penumpang MH370, yang dikatakan telah menghantar mesej secara rahsia mendakwa pesawat itu dirampas pihak tertentu dan dia kini ditahan di sebuah pangkalan tentera, tidak harus dipercayai.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, dakwaan itu hanya satu usaha memburukkan Malaysia oleh pihak yang mahu masyarakat antarabangsa mempercayai bahawa kerajaan negara ini menyembunyikan maklumat apa yang didakwa sebagai fakta sebenar di sebalik kehilangan MH370.

"Mesej itu dibuat oleh orang. Mustahil dalam tempoh 22 hari, dengan begitu banyak negara terlibat dalam usaha mencari secara besar-besaran, perkara ini boleh disimpan sebagai rahsia. Bagi saya, ini tidak logik. Media asing sengaja membesarkannya sebagai berita sensasi untuk memburukkan imej Malaysia," katanya.

Dalam mesej internet bertarikh 19 Mac lalu, pengirim yang mengaku dirinya 'Philip Wood' itu mendakwa mereka ditahan sepasukan anggota tentera selepas pesawat MH370 dirampas.

'Wood' mendakwa ketika rampasan itu, matanya ditutup dan dia percaya, telah diberikan dadah oleh perampas.

Apa yang lebih mengejutkan, pengirim mesej itu juga mendakwa dia dan penumpang lain ditahan di Pulau Diego Garcia di mana dia ditempatkan dalam sel yang berasingan daripada penumpang lain.

"Saya menyembunyikan telefon di dalam dubur, membolehkan saya menghantar mesej ini," tulis 'Wood'.

'Wood' yang nama itu sememangnya direkodkan sebagai seorang daripada 227 penumpang MH370, rakyat Amerika Syarikat dan merupakan eksekutif kanan IBM berpangkalan di Beijingsejak dua tahun lalu, menyertai penerbangan MH370 dalam perjalanan pulang selepas menyelesaikan urusan kerjanya di negara ini.

Dia juga memuat naik gambar profilnya yang setelah dikaji, menggunakan perisian tertentu dirakam di Diego Garcia bertarikh 18 Mac 2014.

Orang ramai turut memberi reaksi terhadap mesej yang diragui itu malah, ada yang menganggap tidak masuk akal.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Saturday, March 29, 2014

Kemunculan tentera AS dipertikai

7:52 PM No Comments

BACHOK – Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary meminta penjelasan daripada kerajaan mengenai dakwaan kemunculan tentera Amerika Syarikat di Kelantan.

Beliau berkata, kemunculan tentera Amerika Syarikat di Kelantan mendatangkan curiga dalam kalangan rakyat Kelantan.

Beliau mendakwa, gambar kemunculan tentera itu di Kelantan telah dirakam oleh aktivis di salah sebuah hotel di Kota Bharu dan gerombolan tentera itu menuju ke Hutan Simpan Sokor, Tanah Merah.

“Dalam ucapan saya di parlimen ketika membahaskan perbahasan titah ucapan Yang DiPertuan Agong, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ketiga Belas baru-baru ini, saya menyatakan bahawa dokumen oleh Arkib Negara Malaysia bertajuk Documents On Malacca From 1509-1511, mendedahkan bagaimana Kota A famosa dibina oleh Portugis dari batu nisan orang Muslim dan serpihan batu masjid yang runtuh akibat serangan Portugis.

“Dokumen tersebut juga mendedahkan surat Alfonso De Albuquerque kepada King D Manuel tentang tekadnya untuk menghancurkan Makkah dan kota Muslim yang lain, yang perlu dibaca sebagai sebahagian strategi perang salib,” katanya.

Beliau yang juga AJK Pemuda Pas Pusat mengingatkan kerajaan mengenai dakwaan konspirasi barat dalam beberapa tragedi termasuk pencerobohan ke atas Iraq, Afghanistan dan pendedahan intipan oleh bekas agen Central Intelligence Agency
(CIA), Edward Snowden.

Ahmad Marzuk juga meminta kerajaan menyiasat kes pesawat MH370 bersama dengan hubung kait kes kehadiran dua perisik Israel di Bukit Aman dan penglibatan APCO.

Sementara itu, melalui beberapa laman blog kelmarin menyiarkan artikel Dewan Rakyat yang dimaklumkan mengenai kehadiran tentera Amerika Syarikat ke Kelantan pada awal bulan ini.

Melalui artikel itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kehadiran mereka selama dua minggu dari 18 hingga 21 Mac untuk latihan tahunan bersama Markas 8 Briged dan Markas Tentera Darat.

Menurutnya lagi, kehadiran tentera United States Army Pasific (USARPAC) itu juga menjalankan latihan bencana alam seperti banjir dan jungle warfare. Latihan sedemikian juga bakal diadakan lagi pada 17 hingga 29 September 2014.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Friday, March 28, 2014

Pemuda PAS kutuk hukuman mati 529 aktivis Ikhwan Muslimin

6:29 PM No Comments

PETALING JAYA: Lajnah Antarabangsa Pemuda Pas Malaysia (LA PPM) mengutuk sekeras-kerasnya hukuman mati yang dilakukan terhadap Mursyidul Am Ikhwan Muslimin serta 528 aktivis oleh Mahkamah Tentera Mesir.

Menurut Pengerusi LA PPM, Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss (gambar) lajnah itu  mengecam keputusan Mahkamah Jenayah pihak Tentera Mesir yang menjatuhkan hukuman mati ke atas Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Prof Dr Mohd Badie, Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan, Dr Saadu Katatni yang juga bekas Speaker Mesir bersama 528 orang aktivis Ikhwan Muslimin yang lain.

Malah, LA PPM turut menganggap keputusan tersebut adalah kemuncak kezaliman Jeneral Abdul Fattah As Sisi setelah melakukan rampasan kuasa ke atas kerajaan rasmi Mesir, pimpinan Presiden Dr Mohamad Morsi.

“Dua tahun lalu, tragedi penyembelihan rakyat di Medan Rabiah telah mengorbankan lebih 3,000 orang para syuhada’,” katanya yang juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
Tambahnya, sepatutnya keadilan harus ditonjolkan oleh mahkamah mesir, namun ia telah dicemari dengan keputusan yang berat sebelah dan tidak rasional.“Perkara tersebut amat mengecewakan,” ujarnya.

Tidak terhenti di situ, dunia turut digemparkan ketika proses mahkamah baru sahaja bermula pada minggu lalu, barisan pembelaan telah di ancaman oleh pihak polis walaupun ketika prosiding sedang berjalan.

“Salah seorang peguambela tiba-tiba dimasukkan ke dalam senarai tertuduh dan dijatuhkan hukuman mati yang sama,” jelasnya.
Beliau berkata, Rejim Abdul Fattah as Sisi telah membuktikan bahawa beliau sememangnya diktator kuku besi yang mewarisi kezaliman Firaun di bumi tersebut.

Malah, beliau juga berjaya membuktikan kesetiaan beliau terhadap rejim haram Israel dan menjadi boneka Amerika Syarikat.
Bukan itu sahaja, LA PPM turut merasa kesal dengan kerajaan negara Islam-Arab kerana mendiamkan diri serta membiarkan kezaliman berlaku di depan mereka tanpa adanya bantahan serta kecaman antarabangsa.

“Arab Saudi, UAE, Kuwait, Jordan dan lain-lain negara turut bersekongkol dengan rejim kudeta Mesir serta mempunyai sentimen kebencian mendalam yang sama terhadap Ikhwan Muslimin,” jelasnya.

LA PPM turut yakin dengan menghukum mati pemimpin ikhwan Muslimin, ia tidak akan mematikan perjuangan rakyat mesir dalam menuntut keadilan. Malah, rakyat akan semakin bersemarak untuk berjihad menentang kezaliman Abdul Fattah.

“Mungkin, keputusan penghakiman ini menjadikan rejim kudeta As Sisi bakal menemui pengakhirannya,” katanya.

Selain, LA PPM turut mendesak kerajaan Malaysia untuk bersama-sama mengutuk keputusan mahkamah yang berat sebelah ini.

“Kerajaan seharusnya memutuskan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Mesir, serta mendesak negara-negara OIC bertindak tegas ke atas Mesir,

“Kezaliman rejim As Sisi perlu dihentikan dengan tindakan tegas dan berani oleh pemimpin-pemimpin negara Islam,” Ujarnya.

Raja Ahmad turut menjelaskan apa yang berlaku ke atas Syeikh Dr Badi’ dan seluruh mangsa kezaliman sebenarnya mengulangi episod kesyahidan Syeikh Said Qutub yang  berakhir di tali gantung pada tahun 1960an.

“Ketika Syahidnya Said Qutb pada waktu itu, telah melahirkan ribuan lagi para ulama’ dan mujahid yang bangkit untuk membela umat Islam di bumi tersebut sehingga sekarang.

“InsyaAllah, kesyahidan beliau bakal melengkapkan perjuangan murni beliau memipin Ikhwan selama ini,” katanya.

Malahan, keihklasan beliau pastinya akan dibalas dengan ganjaran syahid di sisi Allah.

Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com
Read More...


Telan Garpu Untuk Tunjuk Kehebatan Diri Pada Rakan

6:21 PM No Comments

SEORANG lelaki warga Romania membuat pertaruhan pelik iaitu dengan menelan garpu besi sebagai usaha menarik perhatian rakannya.

Akibat aksi yang dianggap sebagai 'bodoh' oleh portal berita antarabangsa, lelaki terbabit, Radu Calincescu, 25, terpaksa dikejarkan ke hospital di Bandar Bacau, Romania kerana mengadu terasa tercucuk di dalam perut.

Ketika tiba di hospital, Calincescu telah memberitahu doktor bahawa dia terasa sakit seperti sesuatu benda tercucuk di dalam perut tanpa mendedahkan tindakannya yang menelan garpu.

Doktor yang membuat imbasan x kemudiannya terkejut apabila mendapati garpu berada di dalam usuS Calincescu.

Hasil desakan doktor, Calincescu kemudian mengaku, "Saya bertaruh dengan kawan  bahawa saya boleh menelan garpu tanpa sebarang kecederaan ke atas diri."

Calincescu kemudian diarahkan untuk pulang ke rumah tanpa sebarang pembedahan kerana doktor perlu menunggu jika garpu itu boleh keluar dengan sendiri bersama najisnya.

"Saya perlu berehat dalam beberapa hari dan menunggu jika garpu itu boleh keluar semula, tetapi saya takut jika ia menikam usus saya.
"Sekarang baru saya sedar telah melakukan satu aksi dan pertaruhan yang bodoh kerana ia mendatangkan masalah kepada diri sendiri," luahnya.

Sumber : http://www.mstar.com.my


Read More...


Mesir: PBB Bantah Hukuman Mati Ke Atas 529 Pengikut Presiden Morsi

6:18 PM No Comments

GENEVA: Tindakan hukuman mati ke atas 529 pengikut bekas presiden, Mohamed Morsi adalah melanggar prinsip keadilan sejagat demikian bantahan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Selasa.

"Tidak pernah ada dalam sejarah hukuman mati secara besar-besaran dan beramai-ramai ini dilakukan dalam era moden hari ini.

"Ia adalah bertentangan dengan prosedur dan undang-undang hak asasi kemanusiaan sejagat," kata Rupert Coville, jurucakap kepada pesuruhjaya tinggi PBB mengenai hak asasi kemanusiaan.

Sumber : http://www.mstar.com.my
Read More...


Kematian pengajaran jadi umat maju

6:01 PM No Comments

Saban hari kita disogokkan dengan berita kematian yang berlaku daripada pelbagai sebab. Antaranya melalui proses penuaan, sakit dan kemalangan.

Kematian akibat kemalangan khasnya adalah kejadian kehilangan mengejut yang banyak meninggalkan kesan secara tiba-tiba kepada waris khasnya dan masyarakat amnya.

Ia sebenarnya memberi keinsafan kepada kita apatah lagi yang membabitkan waris dan rakan taulan terdekat.

Bagaimanapun, keinsafan ini akan berkurangan apabila berita kematian menjadi semakin lama berlaku. Dengan kemalangan yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 baru-baru ini, sekali lagi kita dikejutkan dengan berita kematian.
Dari segi syarak kematian berlaku apabila roh berpisah daripada jasad. Kematian adalah fenomena yang wujud dan tidak boleh dielakkan. Ini termaktub dalam maksud firman Allah SWT menerusi ayat berikut:

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha perkasa lagi Maha Pengampun. (Surah al-Mulk, ayat 2)

Kematian pasti berlaku

Kematian adalah sesuatu yang tidak diketahui manusia bila akan berlaku. Dari perspektif syariat Islam ia sudah ditetapkan Allah SWT dan berada dalam ilmu-Nya.

Firman Allah dalam Surah al-Araaf, ayat 34 yang mafhumnya: Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila datang waktunya, mereka tidak dapat mengundurkan barang sesaat pun dan tidak dapat pula memajukannya.

Sebagai umat Islam kita percaya selepas kematian ada alam barzakh dan akhirnya akan dibangkitkan di Padang Mahsyar kelak.

Segala kerja kita di muka bumi ini ketika hidup menjadi perkiraan mengikut syariat Islam. Usaha baik akan mendapat kebaikan dan sebaliknya mendapat balasan sewajarnya.

Maka, sudah semestinya masyarakat boleh mengambil pengajaran kematian sebagai asas untuk mewujudkan kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan mereka.

Ia akan membawa masyarakat moden Muslim kepada wawasan mencari kebaikan di atas muka bumi. Kebaikan dan kemajuan yang dilakukan ketika hidup sama ada dalam kemajuan sosial, ekonomi, akhlak sebenarnya dapat dipertingkat apabila sedar akhirnya ia diberi ganjaran pada kemudian hari.

Bekalan selepas kematian

Ia sebagai bekalan kehidupan sesudah kematian. Sebagai contoh, dalam urusan mencari pendapatan, seorang Muslim tentu akan berusaha mencari pendapatan yang halal.

Kerja yang dilakukan perlu jujur dan amanah terhadap diri dan majikan. Kos sara hidup yang tinggi pada masa kini akan menjadikan mereka lebih berdaya saing mencari pendapatan yang lebih dan bijak menguruskan kewangan dan simpanan.

Dalam aspek hubungan sosial, masyarakat boleh mewujudkan perhubungan yang saling berkasih sayang dan tolong menolong. Seterusnya mereka dapat mengelakkan daripada hasad dengki, perbalahan, permusuhan dan pelbagai perkara negatif lain yang boleh merosakkan masyarakat.

Apabila wujud elemen positif dalam kalangan ahli masyarakat, maka kadar gejala sosial seperti pembuangan bayi, sumbang mahram, jenayah boleh berkurangan.

Kesedaran individu dan masyarakat dalam memberi bantuan untuk membasmikan gejala seumpama ini dapat menjadikan masyarakat bebas daripada perkara negatif.

Begitu juga, jika kita lihat dalam aspek kemalangan jalan raya. Nahas boleh dikurangkan jika wujud kesedaran dan tanggungjawab dalam segenap aspek.

Contohnya, pemandu sedar pemanduan kenderaan yang berbahaya adalah satu kesalahan. Bukan saja di sisi undang-undang sivil, bahkan juga salah daripada undang-undang syarak.

Dengan penuh kesedaran mereka lebih mematuhi peraturan jalan raya, memandu dengan lebih bertimbang rasa, memandu dalam keadaan yang cergas, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum perjalanan dan mendapat kemahiran tinggi dalam pemanduan.

Dari segi akhlak, umat Islam yang berfikir mengenai balasan di akhirat, pasti berhati-hati dengan tawaran yang menyalahi syarak. Contohnya, dalam isu rasuah, mereka saja menjauhi perbuatan berkenaan bahkan mengelak daripada menawarkan rasuah kepada orang lain.

Pertingkat amalan

Ini secara positifnya dapat mempertingkatkan amalan integrasi dalam kehidupan masyarakat termasuk urusan di sektor kerajaan dan sektor swasta.

Mengambil kematian sebagai satu pengajaran berterusan adalah satu perkara yang digalakkan Islam.

Dengan kesedaran bahawa mati itu adalah pasti dan segala amalan, setiap kerja yang manusia lakukan di bumi sepanjang hidup akan dipertanggungjawabkan, maka umat Islam dapat maju dalam segala aspek kehidupan.

Urusan kehidupan akan dilakukan dengan penuh tanggungjawab sehingga dapat menghasilkan kemajuan dan kebajikan. Dengan itu, marilah kita jadikan kematian sebagai satu pengajaran dengan penuh keinsafan.

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Skim MyHome dilancar 1 April

5:43 PM No Comments

Putrajaya: Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) akan dilaksanakan bermula 1 April ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata skim MyHome itu membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi pembinaan 10,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

Skim ini menawarkan insentif sehingga RM30,000 seunit kepada pembeli rumah dan pemaju swasta yang antara lain diwujudkan kerajaan untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah mampu milik," katanya pada Majlis Pelancaran MyHome di sini, semalam.

Skim MyHome diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat pada 25 Oktober lalu.

Belian rumah pertama

Beliau berkata, antara syarat ditetapkan untuk melayakkan pembeli membeli rumah berkenaan adalah warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas, pembelian rumah pertama dan permohonan satu unit rumah kepada setiap isi rumah.

Ia juga terbahagi kepada empat kategori kelayakan pendapatan isi rumah iaitu bagi MyHome1 dan MyHome1 Sabah dan Sarawak adalah RM3,000 hingga RM4,000 manakala MyHome2 dan MyHome2 Sabah dan Sarawak RM4,001 hingga RM6,000.
Pemilihan pemaju yang layak akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Projek Skim MyHome di kementerian.

"Antara syaratnya termasuk syarikat yang sah ditubuhkan dan diperbadankan di bawah undang-undang Malaysia, setiap pemaju dihadkan untuk menerima insentif tidak melebihi 1,000 unit dalam satu projek serta keutamaan diberikan kepada pemaju perumahan swasta," katanya.

Abdul Rahman berkata, mereka yang menepati syarat kelayakan dan berminat boleh membuat permohonan atas talian di http://ehome.kpkt.gov.my, muat turun borang di laman web Jabatan Perumahan Negara (JPN) iaitu http://ehome.kpkt.gov.my, mengambil borang di Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Bagi memastikan pemilikan rumah di bawah skim ini mencapai golongan sasaran, kerajaan menetapkan syarat tempoh moratorium kepada pembeli selama 10 tahun dan tempoh itu dikira apabila surat perjanjian jual beli ditandatangani, katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Tragedi MH370: Kabus, angin kencang halang misi

5:38 PM No Comments

Kabus tebal, angin kencang dan ombak ganas di selatan Lautan Hindi tengah hari semalam, menyebabkan semua 11 pesawat peninjau pelbagai negara yang menyertai gerakan mencari MH370 diarah berpatah balik.

Pihak berkuasa Australia mengeluarkan arahan itu berikutan keadaan cuaca di lokasi pencarian semakin buruk dan boleh membahayakan anggota pasukan yang menyertai operasi berkenaan, kira-kira 2,500 kilometer ke barat daya Perth, lokasi sama penerbangan MH370 dikatakan terjunam.

Bagaimanapun, lima kapal laut yang turut menyertai operasi itu masih meneruskan gerakan mencari membabitkan kawasan seluas 78,000 kilometer persegi.

Agensi Keselamatan dan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataannya memaklumkan, semua pesawat itu yang berlepas pada sebelah pagi, diarah kembali ke pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce, dekat sini, berikutan keadaan kabus tebal, hujan ribut dan hampir tiada jarak penglihatan.

Tak temui sebarang objek

Bagaimanapun, semua pesawat dan kapal berkenaan yang dihantar ke lokasi itu selepas satelit Perancis mengesan 122 imej dipercayai milik MH370, tidak menemui sebarang objek.

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Tangisan Jumaat

5:26 PM No Comments

Assalamulalaikum dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah berjumpa lagi kita di hari Jumaat penghulu segala hari iaitu Hari yang penuh keberkatan. Tergerak hati untuk menulis "Tangisan Jumaat" kerana ketika khatib membaca Surah Al-fatihah, air mata tiba-tiba mengalir, mungkin kerana terlalu banyak dosa yang saya lakukan, Surah Al-fatihah itu membuatkan saya terfikir bagaimana untuk saya merentasi titian 'siratul mustaqim'. Ya allah, ampunilah dosa hambamu ini, berikanlah petunjuk dan hidayah supaya tidak terus tersesat di dalam kancah dunia yang penuh dengan dugaan. 

Air mata ini menitis lagi ketika Imam membaca doa keselamatan untuk palestin, gaza dan sebagainya. Ya allah selamatkan mereka, ampunilah dosa-dosa seluruh umat islam berikanlah kami kekuatan. Ketika ini juga terdetik memikirkan nasib Pesawat MH370 Semoga mereka selamat dan berada dalam keaadan baik. Amin. Begitu juga kepada Hukuman mati kepada 529 ahli-ahli Ikhwanul Muslimin, semoga keajaiban berlaku, semoga mereka semua selamat dari ujian mu ini Ya allah. Amin.

Akhir kalam, Semoga hari ini lebih baik dari semalam untuk kita terus memperbaiki diri kita ke arah lebih baik , ke arah Jalan yang di redhai dan di berkati Allah S.w.t. Doa saya semoga kita semua terus di beri nikmat kesihatan dan  kesenangan oleh Allah S.w.t. Makburkanlah Doa Kami Ini Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamin. Assalamualaikum. 
Read More...


'Turn back': Abd Rahim akui kenyataan tidak tepat

4:59 PM No Comments

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abd Rahim Bakri mengakui, kenyataan beliau yang mengatakan MH370 berpatah balik (turn back) berkemungkinan setelah menerima arahan dari pusat kawalan adalah tidak tepat.

 “Saya ingin menjelaskan bahawa ia hanya merupakan andaian saya semata-mata serta kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku.

 “Selepas membuat semakan, saya ingin tegaskan bahawa andaian saya adalah tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, ketika perbahasan di Parlimen Abd Rahim berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM ) tidak mengambil tindakan terhadap MH370 yang membuat  turn back ketika melalui ruang udara Selat Melaka kerana menyangka ia arahan daripada menara kawalan udara (ATC), Subang.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan daripada Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) yang mempersoalkan tindakan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud memaklumkan ada berlaku ‘turn back' sehari selepas kehilangan MH370.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Pas yakin MH370 dirampas

11:05 AM No Comments

YAN - Pas yakin bahawa MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu kemungkinan dirampas oleh individu tertentu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tanda-tanda mengenai rampasan itu sudah ada.

“Kerajaan mesti mengesahkan bahawa MH370 telah dirampas, cuma kita belum tahu siapa yang lakukan perkara itu.

“Tanda-tanda terjadi itu ada sebab dia pesawat itu dibawa ke tempat yang sukar dan tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Ijtimak Ulama Pas Kedah di Markas Pas Kawasan Jerai, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau turut mendoakan supaya semua penumpang dan anak kapal MH370 selamat.

“Saya doakan mudah-mudahan ada harapan untuk mereka selamat dan takziah kepada keluarga penumpang.

“Takziah bukan bermaksud kematian saja, tetapi bencana yang menimpa ahli keluarga berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Nik Mohd Zawawi Saleh mengharapkan supaya ahli keluarga mangsa tabah dan kuatkan semangat.

“Sekiranya ditakdirkan penumpang pesawat MH370 mati, kita harap ALLAH SWT mengampunkan dosa-dosa mereka.

“Dalam situasi ini juga, penumpang-penumpang dan anak kapal itu dikira sebagai syahid akhirat,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Derita isteri seorang VIP

11:00 AM No Comments

AYER KEROH - Menjadi isteri orang kenamaan atau VIP tidak menjanjikan kebahagiaan. Itu dihadapi seorang wanita di sini apabila kini berdepan trauma selepas didera secara mental oleh lelaki yang dikahwini sejak 14 tahun lalu.

Malah, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lisa, 37, turut memberitahu, dia sering dimaki hamun oleh suaminya yang berstatus Datuk  berusia 63 tahun itu.

Menurutnya, keadaan itu sudah berlarutan hampir 10 tahun dan merasakan hubungan mereka sudah tiada lagi persefahaman, sekali gus menuntut agar suami menceraikannya secara baik menerusi proses mahkamah.

Lisa berkata, suaminya sering melontarkan kata-kata kesat terhadapnya serta sanggup mengatakan dirinya sebagai 'perempuan sial', 'bodoh' dan pernah mengugut untuk menghantarnya ke hospital mental gara-gara dirinya cuba membunuh diri.

“Saya tidak tahan lagi dan pernah suatu hari dia menggunting rambut saya secara paksa hanya kerana marah saya berkawan dengan orang luar kerana kebetulan saya memang aktif berpuisi di radio.

“Dia juga turut menyekat saya untuk berhubung dengan keluarga termasuk ibu bapa saya sendiri, malah pernah menghalau saya dari rumah.

"Paling tidak tahan, dia pernah mencabul pembantu rumah saya,” katanya yang mengadukan masalah itu di Pejabat Pembela BN Melaka, dekat sini, semalam.

Lisa berkata, hasil perkahwinan, mereka dikurniakan lima anak berusia dari 14 hingga tujuh tahun.

“Saya kesal berkahwin dengannya sebab dia tidak meletakkan kedudukan seorang isteri di tempat yang betul dan sekarang saya serta anak-anak sudah enam bulan tidak tinggal bersamanya.

“Setakat ini sudah 29 kali saya menuntut cerai dengannya dan masuk kali ini barulah saya memfailkan tuntutan fasakh,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Guaman Pembela BN, Mohd Adly Ithnin berkata, di dalam kes terbabit, masing-masing tidak lagi boleh meneruskan perkahwinan dan membuatkan penangguhan tuntutan berkaitan seperti tuntutan harta serta nafkah anak-anak.

“Kes ini boleh diselesaikan secara baik sekiranya si suami bersetuju perkara berkaitan harta diselesaikan dengan mahkamah yang lain, bukannya di dalam bab fasakh.

“Isu menjadi rumit sebab pihak suami cuba memasukkan semua perkara ke dalam satu,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Bogel selepas kantoi

10:56 AM No Comments

SELAYANG - Seorang lelaki bertindak di luar jangkaan apabila tiba-tiba menanggalkan pakaiannya dan berbogel selepas kantoi cuba pecah kenderaan di Selayang Baru, kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian jam 8 malam itu, suspek pada mulanya cuba masuk ke dalam sebuah kereta yang tidak berkunci untuk mencuri radio.

Menurut sumber, tindakan suspek berusia lewat 20-an itu bagaimanapun disedari orang awam dan juga pemilik kenderaan yang berada berhampiran kawasan tersebut.

“Pemilik meninggalkan keretanya sekejap untuk ke kedai, dan apabila kembali, dia terlihat kelibat seseorang dalam kenderaannya.

“Selepas dikepung orang awam, suspek secara tiba-tiba menanggalkan pakaian dan hanya memakai semula selepas seorang kenalannya menyuruhnya berbuat demikian,” beritahu sumber kepada Sinar Harian, semalam.

Kata sumber itu lagi, suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 511 kanun keseksaan kerana cuba melakukan jenayah.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Thursday, March 27, 2014

Datuk Ali Mamak meninggal dunia

10:42 PM No Comments

PELAWAK terkenal era 80an, Datuk Ali Mamak atau nama sebenarnya Osman Jantan meninggal dunia jam 4.20 pagi tadi.

Memetik laporan sebuah portal hiburan, Allahyarham yang dikenali melalui sitkom ‘Santan Berlada’ meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana kanser tahap kedua.

Perkara ini juga disahkan oleh anak lelakinya, Shahrul Nizam melalui akaun Facebook (FB) peribadinya.

Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka sudah berkecimpung dalam bidang seni selama kira-kira 25 tahun, dan telah dianugerahkan gelaran Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk.

Jenazah akan dibawa ke rumahnya di Batu 14, Hulu Langat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua Batu 16, Hulu Langat, Selangor untuk dikebumikan sebelum Zohor.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


Read More...


Wednesday, March 26, 2014

Pengantin tiba-tiba bersilat

9:19 PM No Comments

SUNGAI PETANI - Orang ramai yang menghadiri majlis perkahwinan di Taman Keladi dekat sini kelmarin gempar apabila pengantin lelaki yang lengkap mengenakan pakaian mempelai meninggalkan kerusi tempat duduk pengantin yang telah dikhaskan.

Tindakan pengantin lelaki, Mohd Shahfizal Muhammad Shahfawi, 27, yang bekerja di sebuah syarikat industri itu turut mengejutkan pasangannya, Nor Hasliza Abd Rashid, 24, yang sedang disandingkan bersama ketika itu.

Bukan sahaja tetamu yang hairan, malah ibu bapa pengantin turut terkejut menjadikan suasana sedikit cemas dan kelam-kabut.

Bagaimanapun, tindakan Mohd Shahfizal itu dilakukan bagi membolehkannya membalas ‘panggilan’ salah seorang ahli pertubuhan silat yang sedang dalam pertunjukan ketika itu.

Dia dilihat mengambil tempat di lokasi pertunjukan silat bersama beberapa ahli pertubuhan berkenaan sebelum mempamerkan kemahiran yang dimiliki dalam seni mempertahankan diri tersebut.

Tindakannya mendapat perhatian pengunjung yang kemudian mengerumuni tempat pertunjukan bagi menyaksikan dengan lebih dekat.

Menurut Shahfizal yang juga Jurulatih Silat Lincah Malaysia, tindakan itu dilakukan bagi ‘membalas’ pergerakan setelah dicabar anak buah yang sedang membuat pertunjukan ketika itu.

Mohd Shahfizal berkata, dia terus memulakan langkah apabila dicabar anak buah yang sedang beraksi.

“Saya juga tidak menyangka akan turut serta membuat pertunjukan kerana mengikut perancangan awal, hanya anak buah sahaja yang terlibat.

“Tetapi, secara tiba-tiba mereka ‘mencabar’ saya untuk turut serta dan saya menyambut cabaran itu tanpa dirancang. Namun Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar akhirnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Nor Hasliza yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta turut terkejut dengan tindakan suami yang secara tiba-tiba meninggalkan kerusi pengantin untuk beraksi.

“Saya juga tidak menyangka suami akan membuat persembahan kerana dia pun tidak membuat sebarang persiapan,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Tuesday, March 25, 2014

China mahu Malaysia beri maklumat, bukti mengenai pesawat hilang

11:17 AM 1 comments

BEIJING: Kementerian Luar China malam ini menuntut Malaysia memberi maklumat dan bukti mengenai pesawat MH370 yang hilang selepas ia disahkan penerbangannya berakhir di selatan Lautan Hindi.

" China sudah pun diberitahu oleh Kerajaan Malaysia mengenai pengumuman terbaharu itu dan kami memberi tumpuan sepenuhnya," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

"China sudah pun menuntut agar Malaysia menyalurkan lagi kepada kami semua maklumat dan bukti mengenai bagaimana ia mencapai kesimpulan berkenaan," kata kenyataan itu sambil menekakan agar operasi mencari pesawat tetap diteruskan. - Reuters

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


MH370: Suasana sedih, histeria selubungi keluarga penumpang di Beijing

10:38 AM No Comments

BEIJING: Ahli keluarga penumpang pesawat MH370 dari China bertukar menjadi histeria sebaik Perdana Menteri Malaysia mengunumkan penerbangan pesawat berakhir di selatan Lautan Hindi, malam tadi.

Di hotel Beijing tempat di mana ramai ahli keluarga, waris dan sahabat handai berkumpul sejak MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing tidak sampai pada pagi 8 Mac lalu, mereka terus meraung dan menangis sebaik mendengar berita terbaharu itu. Sesetengahnya mengeluarkan perasaan marah dan ada juga rebah di lantai.

Seorang wanita menjerit dengan berkata: "Ia tidak benar" sebelum rebah.

Sekurang-kurangnya empat orang terpaksa diusung kerana amat sedih dan mampu menerima kenyataan berkenaan. - Reuters

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Kenyataan PM Najib mengenai MH370

10:34 AM No Comments

KUALA LUMPUR: Berikut ialah kenyataan akhbar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkembangan terkini penerbangan MH370 yang hilang.

Malam ini saya diberi taklimat oleh wakil-wakil dari Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB).

Mereka memberitahu saya bahawa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit meliputi koridor utara dan selatan, telah melakukan pengiraan lanjut terhadap data itu.

Dengan mengggunakan kaedah analisis yang belum pernah digunakan dalam sesuatu penyiasatan seumpama ini, mereka telah berjaya membuat pencerahan mengenai laluan penerbangan MH370.

Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB telah membuat kesimpulan bahawa MH370 terbang melalui koridor selatan, dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

Ini merupakan lokasi yang terpencil, jauh dari sebarang lokasi pendaratan. Justeru itu dengan perasaan sedih dan kesal yang amat sangat, saya perlu memaklumkan anda bahawa menurut data baharu ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Kami akan mengadakan sidang akhbar hari ini untuk memaklumkan butiran lanjut.
Sementara itu kami ingin memaklumkan anda mengenai perlembangan terbaharu ini dalam kadar segera.

Kami berkongsi maklumat ini atas dasar komitmen kami terhadap keterbukaan dan perasaan hormat kepada seluruh keluarga, dua prinsip yang menjadi panduan penyiasatan ini.

Malaysia Airlines sudah pun memaklumkan kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal untuk memberitahu mereka perkembangan ini.
Bagi mereka dua minggu yang berlalu cukup memeritkan; saya sedar bahawa berita ini akan lebih sukar lagi. Saya menggesa pihak media supaya menghormati privasi mereka dan memberi mereka ruang menghadapi situasi getir ini.-- BERNAMA

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Monday, March 24, 2014

10 pesawat dikerah cari MH370 di 2,500km di perairan Perth - AMSA

9:55 AM No Comments


PERTH: Operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang diteruskan pagi ini di koridor selatan di perairan Perth dengan lebih banyak pesawat menyertainya.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, misi berkenaan semakin mencabar dengan berpandukan kepada beberapa imej satelit di kawasan yang berpotensi.

"Dua kapal awam yang diambil AMSA dan pesawat tentera dari Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, China dan Jepun kini meneruskan operasi mencari objek yang dikatakan kemungkinan serpihan pesawat," kata AMSA dalam kenyataan pagi ini.

AMSA sudah mengerahkan semua 10 pesawat dalam misi mencari hari ini di kawasan 2,500 kilometer di barat daya perairan Perth.

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Sunday, March 23, 2014

MH370: Serpihan kecil ditemui di selatan Lautan Hindi - Tony Abbott

11:01 AM No Comments

MELBOURNE: Perdana Menteri Australia, Tony Abbott hari ini berkata, serpihan kecil dikesan di selatan Lautan Hindi tetapi masih terlalu awal untuk mengesahkan kaitannya dengan pesawat MH370.

Beliau mengumumkan perkembangan terkini berkaitan misi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum berlepas ke Papua New Guinea pagi ini.

"Semalam, salah sebuah pesawat awam kami mendapat gambar beberapa objek di kawasan kecil sepanjang pencarian dalam zon Australia," katanya kepada media.

Katanya, palet kayu adalah antara barang yang dikesan.

Sementara itu, beliau memberi amaran masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan.

"Sudah tentu sebelum kita boleh mengesahkan apa benda itu, kami perlu mendapatkan barang ini. Masih terlalu awal untuk pastikan," katanya. - Xinhua

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Saturday, March 22, 2014

Cemas kereta terbakar tiba-tiba

9:43 AM No Comments

KAJANG - "Saya berasa panas, dan tiba-tiba asap berkepul-kepul keluar daripada kereta saya," demikian menurut seorang pemandu yang keretanya (Satrio Neo) tiba-tiba terbakar di depan lampu isyarat Jalan Reko Kajang hari ini.

Pemandu tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad berkata, dia bernasib baik kerana pantas keluar daripada kereta itu dan segera meminta pertolongan daripada orang ramai yang berada berdekatan kawasan tersebut.

"Saya baru balik daripada masjid selepas selesai  menunaikan solat Jumaat tadi.

"Saya berhajat hendak ke Pejabat Pendaftaran Bangi, tiba-tiba berhenti di lampu isyarat kereta saya terbakar, cemas juga, dalam kekalutan tersebut saya sempat keluar daripada kereta saya," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Ketika ini, mereka sedang menunggu ketibaan penyelamat (bomba) untuk 'menyelamatkan keadaan'.

Jalan di situ sesak teruk akibat kejadian tersebut. Orang ramai turut mengambil kesempatan untuk merakamkan adegan mencemaskan tersebut.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Friday, March 21, 2014

MH370: Imej objek menerusi satelit firma Colorado

5:21 PM No Comments

WASHINGTON: Sebuah firma imej satelit berpangkalan di Colorado berkata gambar dua objek yang terapung di Lautan Hindi yang ada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang adalah miliknya.

Selepas menemui objek berkenaan, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott membuat panggilan kepada Perdana Menteri Malaysia untuk memaklumkan mengenai imej berkenaan.

Ketika mengumumkan pada sidang media, Abbott tidak memberitahu dari satelit mana imej berkenaan namun DigitalGlobe mengeluarkan kenyataan bahawa firma berkenaan yang memberikan imej berkenaan.

"Kami boleh mengesahkan bahawa DigitalGlobe memberikan imej berkenaan kepada pegawai penyelamat di Australia, dan kami dimaklumkan oleh pegawai kerajaan Australia bahawa imej firma inilah yang dirujuk oleh Abbott," kata jurucakap firma berkenaan hari ini.

"Imej satelit berkenaan dihasilkan pada 16 Mac lalu menerusi satelit WorldView-2 dengan resolusi kira-kira 50 cm. Bekerjasama dengan pelanggan kami, DigitalGlobe akan terus mengumpulkan imej di kawasan yang luas itu termasuk di sekitar perairan yang terdapatnya objek yang diumumkan semalam," kata kenyataan itu.

Siapakah DigitalGlobe?
DigitalGlobe, berpangkalan di Longmont, Colorado, memiliki beberapa satelit komersial imej bumi. Syarikat itu mempunyai lebih 4 bilion kilometer persegi imej dalam arkibnya, demikian menurut laman webnya.

Bagiamana mereka memperoleh pendapatan?
DigitalGlobe menjalankan khidmat berasaskan 'First Look Event' iaitu mampu membezakan imej 'sebelum dan selepas' untuk pelanggannya.

Dalam beberapa bulan ini, syarikat memulakan perkhidmatan untuk memantau kebakaran hutan di Australia, keganasan di Ukraine dan ribut salji di Atlanta.

Status firma?
Firma membuat tawaran awam di Bursa Saham New York pada Mei 2009, dan didagangkan menggunakan simbol niaga DGI.

Apa khidmat terkininya?
Minggu lalu, Digital Globe melancarkan usaha 'mengumpul sumber' atau 'crowdsource' untuk membantu mencari pesawat MH370 yang hilang dengan meminta orang awam membantu untuk menganalisis imej resolusi tinggi terhadap apa juga petunjuk mengenai kehilangan pesawat Malaysia itu.

Kejayaan sebelum ini?

Apabila puting beliung Haiyan melanda Filipina pada November 2013, DigitalGlobe mengaktifkan kempen 'crowdsourcing' globalnya. Syarikat itu berjaya mengumpul lebih 400,000 imej dengan mengenal pasti 38,000 bangunan dan 101,000 kediaman yang rosak.

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


MH370 takkan terhempas akibat masalah teknikal

7:49 AM No Comments

CANBERRA - AUSTRALIA. Pakar keselamatan Australia, Neil Fergus berkata, jika dua objek dikesan di luar pantai Perth disahkan sebagai milik MH370 maka beliau menolak sebarang kemungkinan berlaku kesilapan teknikal.

Semalam, kerajaan Australia memaparkan imej satelit yang mungkin serpihan pesawat di kira-kira 2,500 km barat daya Perth.

Fergus yang juga Pengarah Perisikan bagi Sukan Olimpik Sydney 2000 berkata, jika berlaku kerosakan pada pesawat itu ini bermakna pesawat terbabit tidak dapat diterbangkan di mana serpihan dikesan.

“Jika serpihan itu disahkan betul teori kepincangan teknikal harus ditolak,“ katanya.

Menurutnya, tidak mungkin ada masalah teknikal atau berlaku kebakaran jika pesawat itu dapat diterbangkan ke lokasi yang didakwa penemuan serpihan terbabit.

Sementara itu, Washington Post dalam satu laporan pakar berkata, Malaysia Airlines tidak memiliki aplikasi asas yang sepatutnya diletakkan pada setiap pesawat seperti pesawat Air France yang terhempas pada 2009.

Menurut laporan itu, perisian berharga hanya 6 pound (RM33) itu dapat menghantar data penting seperti arah, kelajuan dan ketinggian walaupun selepas transponder dan sistem ACARS dimatikan.

“Aplikasi itu membantu penemuan pesawat France yang terhempas di Lautan Atlantik. Pasukan SAR dapat menemui semula pesawat itu selepas lima hari,” menurut laporan itu kepada Agensi.

Difahamkan, aplikasi dikenali sebagai Swift itu dilaporkan tidak digunakan pada pesawat MH370.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger