NAMA Nuur Jihan Muse atau lebih dikenali sebagai Jihan Muse
tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat industri seni tempatan.
Walaupun di awal kemunculannya hanya sebagai seorang pelawak
biasa, namun siapa sangka kini dia semakin laku dan mendapat tempat.
Bukan sekadar bergelar pelawak, malah sejak kebelakangan
ini, peserta Raja Lawak musim ketiga ini semakin menjadi tumpuan pengarah,
penerbit dan stesen televisyen untuk bekerjasama dalam projek-projek mereka.
Sehinggakan timbul pelbagai khabar angin kerana
popularitinya yang semakin meningkat, pelakon kelahiran Selangor ini semakin
‘demand’.
Pun begitu, sudah menjadi asam garam sebagai anak seni, akui
Jihan, dia tidak pernah mendabik dada dengan kejayaan yang telah dimiliki.
Katanya, dia yakin rezeki dan kedudukan yang diterimanya
hari ini adalah kerana kepercayaan peminat kepadanya selama ini.
“Alhamdulillah atas rezeki yang diberikan, saya sentiasa
belajar untuk tahu apa yang patut dan tidak patut dibuat dalam karier saya,”
kata pelakon berusia 31 tahun ini.
Ditanya apakah dia semakin laku kerana penampilannya yang
mula menyerlah sejak kebelakangan ini, kata Jihan, penampilan memang perlu
dijaga walau dalam apa jua kerjaya yang diceburi.
“Saya belajar daripada kehidupan, walaupun sebelum ini saya
kurang mendapat perhatian tetapi ia bukan bererti paras rupa yang menjadi
ukuran.
“Lagipun, saya percaya mereka memanggil saya kerana bakat
dan kesungguhan saya,” jelasnya.
Pun begitu, Jihan berkata, dia tetap menjaga batas-batas
yang sepatutnya sebagai seorang wanita.
“Sebagai manusia dan wanita biasa, kita sendiri memang perlu
tahu batas yang sepatutnya.
“Sejak kali pertama saya memilih bidang ini, saya sentiasa
menerima kritikan. Apa pun, saya ambil ia sebagai iktibar dan memandang positif
untuk membantu karier saya,” katanya.
Lawak bukan ikut musim
Berkongsi harapannya, hos program realiti Gegar Vaganza ini
memberitahu, dia bercita-cita besar untuk melihat industri lawak lebih maju dan
diterima di negara ini.
Tambahnya, dia tidak mahu lawak hanya mendapat perhatian
pada musim tertentu sahaja.
“Macam sekarang peminat sedang hangat dengan Maharaja Lawak
Mega 2014, jadi ramai yang meluangkan masa dan fokus kepada pelawak-pelawak
terlibat.
“Sebaliknya, bila sesuatu masa itu tiada sebarang program
atau aktiviti lawak yang hebat dianjurkan, mereka seperti lupa kewujudan kami,”
katanya.
Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya pula, ujar
Jihan, dia kini sedang sibuk memberi perhatian kepada MLM 2014 sebagai ahli
kumpulan SYJ.
“Selain itu, saya juga mempunyai komitmen sebagai hos Gegar
Vaganza. Bagi aktiviti lakonan pula, saya sedang menjalani penggambaran sebuah
telefilem berjudul Hantu Wefie,” katanya yang telah dilamar untuk menjadi duta
bagi sebuah produk
Sumber : http://www.sinarharian.com.my