Friday, March 28, 2014

Skim MyHome dilancar 1 April

5:43 PM No Comments

Putrajaya: Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) akan dilaksanakan bermula 1 April ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata skim MyHome itu membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi pembinaan 10,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

Skim ini menawarkan insentif sehingga RM30,000 seunit kepada pembeli rumah dan pemaju swasta yang antara lain diwujudkan kerajaan untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah mampu milik," katanya pada Majlis Pelancaran MyHome di sini, semalam.

Skim MyHome diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat pada 25 Oktober lalu.

Belian rumah pertama

Beliau berkata, antara syarat ditetapkan untuk melayakkan pembeli membeli rumah berkenaan adalah warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas, pembelian rumah pertama dan permohonan satu unit rumah kepada setiap isi rumah.

Ia juga terbahagi kepada empat kategori kelayakan pendapatan isi rumah iaitu bagi MyHome1 dan MyHome1 Sabah dan Sarawak adalah RM3,000 hingga RM4,000 manakala MyHome2 dan MyHome2 Sabah dan Sarawak RM4,001 hingga RM6,000.
Pemilihan pemaju yang layak akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Projek Skim MyHome di kementerian.

"Antara syaratnya termasuk syarikat yang sah ditubuhkan dan diperbadankan di bawah undang-undang Malaysia, setiap pemaju dihadkan untuk menerima insentif tidak melebihi 1,000 unit dalam satu projek serta keutamaan diberikan kepada pemaju perumahan swasta," katanya.

Abdul Rahman berkata, mereka yang menepati syarat kelayakan dan berminat boleh membuat permohonan atas talian di http://ehome.kpkt.gov.my, muat turun borang di laman web Jabatan Perumahan Negara (JPN) iaitu http://ehome.kpkt.gov.my, mengambil borang di Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Bagi memastikan pemilikan rumah di bawah skim ini mencapai golongan sasaran, kerajaan menetapkan syarat tempoh moratorium kepada pembeli selama 10 tahun dan tempoh itu dikira apabila surat perjanjian jual beli ditandatangani, katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger