POKOK SENA - Setiap pengunjung yang datang ke rumah Azizah
Saad, 52, di Kampung Pauh, dekat sini pasti akan terkejut dengan kewujudan
seekor harimau di rumahnya itu.
Harimau itu dikatakan sering berada di hadapan dan belakang
rumah serta di bawah pokok hingga pengunjung terpaksa menelefonnya terlebih
dahulu jika ada temu janji berikutan bimbang keselamatan mereka setiap kali
sampai ke rumahnya itu.
Difahamkan, harimau itu dikatakan menjadi penunggu rumahnya setiap
kali dia dan suaminya, Johari Hanafiah, 56, bersama anak mereka keluar dan
harimau itu menjaga hasil tanaman mereka agak tidak dicuri atau dirosakkan
pihak tertentu.
Azizah berkata, sejak mereka berpindah 15 tahun lalu,
kawasan rumahnya itu dahulunya adalah hutan dan banyak kera yang sering
merosakkan tanaman mereka serta orang kampung hingga memaksa mereka mencari
pelbagai cara untuk menghalaunya tetapi tidak berjaya.
“Sebenarnya harimau itu ialah patung yang digunakan untuk
menghalau kera yang sering merosak dan mencuri hasil tanaman di rumah saya ini.
Semenjak saya menggunakan teknik ini hasil tanaman kami tidak lagi dicuri oleh
binatang perosak itu.
"Dahulunya terdapat kira-kira 50 hingga 100 kera sering
datang ke kampung kami merosakkan tanaman. Malah pernah juga turut memasuki
rumah jika kami sekeluarga keluar dan binatang itu mengambil kesempatan
memasukinya," katanya.
Bagaimanapun sehingga kini, teknik yang digunakan itu telah
memberi manfaat kepada keluarganya kerana semenjak itu binatang perosak tidak
lagi berani mendekati halaman rumah mereka.
Menurutnya, dia mendapat idea meletak patung harimau itu
selepas melawat rumah saudaranya di Pantai Remis di kawasan kelapa sawit yang
turut menghadapi masalah sama.
"Teknik itu sangat berkesan hingga menyebabkan saya
turut membeli anak patung harimau di Air Hitam, Johor Bahru dengan harga RM120
dan meletak di sekitar halaman rumah.
“Alhamdulillah, semenjak saya meletak di sekitar halaman
rumah, binatang seperti kera dan babi hutan tidak lagi berani menghampiri
kawasan rumah kami," katanya.
Malah katanya, bagi mengelirukan binatang perosak itu, dia
turut sering mengubah patung harimau itu.
"Apa yang menariknya, semasa kami meletakkan harimau di
bawah pokok, kami tengok gelagat kera yang datang sekumpulan berteriakan
seolah-olah bimbang akan menjadi mangsa harimau itu," katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment