Tuesday, November 17, 2015

Rokok, vape sama berbahaya, kata Tun M

8:13 AM No Comments

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rokok elektronik (e-rokok) atau vape juga sama berbahaya kerana kandungan nikotin yang tinggi dalam produk itu.

"Percayalah, rokok elektronik tidak baik dan sama seperti rokok. Rokok elektronik menghasilkan bau harum dan berperisa. Apabila anda menghisap rokok, anda hanya mendapat bau asap. Tetapi apabila anda menghisap rokok elektronik, anda memperoleh bau yang harum seperti strawberi dan mangga.

"Bau harum ialah cara melariskan produk rokok elektronik," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Persekutuan Antarabangsa Pertubuhan Bukan Kerajaan Bagi Pencegahan Dadah dan Penyalahgunaan Bahan Larangan (IFNGO) ke-26 dan Bengkel NGO Asean IFNGO ke-22 di sini, semalam. ‎  

Justeru, Dr Mahathir, yang juga Penaung Yayasan IFNGO, menggesa masyarakat terutama ibu bapa memupuk nilai-nilai memerangi dadah dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda supaya mereka memahami bahawa dadah boleh memudaratkan kesihatan dan memusnahkan kehidupan mereka.   

Dr Mahathir berkata, pendekatan lebih berkesan perlu diguna pakai untuk memberitahu generasi muda bahawa dadah boleh digunakan sebagai ubat dan harus mengelak daripada menggunakannya lebih daripada itu.

"Ibu bapa harus memberitahu dadah akan memendekkan hidup mereka dan menyemai ajaran yang positif untuk membenci dadah. Jika mereka (generasi muda) dibesarkan dengan mematuhi nilai-nilai tersebut, mereka sendiri akan melawan godaan untuk menggunakan dadah.

"Jika kita semua percaya kepada sistem nilai, kita tidak akan melihat penagih dadah dalam masyarakat kita dan kita boleh membasmi dadah
selama-lamanya," kata beliau.

Di bawah pemerintahan British, Dr Mahathir berkata, hanya penarik beca dan buruh mengambil candu untuk mengurangkan keletihan dan senang tidur selepas sehari bekerja, tetapi sekarang, orang mengambil dadah kerana mereka ketagih dan mahu menukar sesuatu dalam kehidupan mereka.

"Ia lebih teruk sekarang kerana pengaruh dadah boleh menjerumuskan seseorang kepada jenayah seperti mencuri dan membunuh. Sebagai contoh, jika seorang budak lelaki tidak diberikan wang oleh ibu atau bapanya untuk membeli dadah, dia tidak akan teragak-agak untuk membunuh mereka.

"Untuk mendapatkan dadah, dia akan mencuri wang dan dalam proses mencuri, jika dia dihalang, dia akan menggunakan senjata untuk membunuh," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga menggesa masyarakat antarabangsa supaya bekerjasama bagi melumpuhkan pengedaran dadah, kerana dadah ialah jenayah rentas sempadan dan mudah diperoleh di sempadan. - Bernama


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger