Friday, November 7, 2014

Pelajar buli mengaku salah

11:43 AM No Comments

KANGAR - Lima pelajar mengaku bersalah di Mahkamah Juvana Kangar semalam atas tuduhan bersama-sama dalam satu kumpulan mendatangkan kecederaan ke atas murid tahun lima di asrama anak yatim di sini, pada 31 Mei hingga 1 Jun lalu.

Dalam kertas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Norhayati Ibrahim, kelima-lima tertuduh yang berusia antara 13 hingga 16 tahun itu dituduh mendatangkan kecederaan ke atas murid berkenaan dengan mengadakan perhimpunan menggunakan kekerasan.

Mereka dituduh melakukan perbuatan terbabit di asrama berkenaan antara jam 1 petang hingga 2 petang.

Kesemua mereka dituduh bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh yang berusia 15 tahun tidak hadir ke mahkamah dan akan dituduh kemudian.

Pendakwaan dilakukan oleh Ketua Unit Pendakwaan Negeri, Badius Zaman Ahmad dengan menawarkan jaminan RM1,000 bagi setiap tertuduh.

Norhayati membenarkan ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin, bagaimanapun kelima-lima remaja terbabit tidak diikat jamin dan dibawa ke lokap untuk tahanan.

Mahkamah menetapkan 24 Disember untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun semalam mengesahkan video klip aksi buli membabitkan sekumpulan pelajar dan seorang mangsa yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini, berlaku di

Asrama Anak Yatim, Kompleks Penyayang Doktor Siti Hasmah, di Jejawi, Kangar.

Beliau berkata, kes itu merupakan kes lama yang telah dilaporkan Jun lalu.

Difahamkan mangsa dipukul kerana enggan membersihkan bilik sedangkan pada hari berkenaan merupakan gilirannya untuk berbuat demikian.

"Pihak polis tetap mengemukakan kertas siasatan kepada pendakwa raya sekalipun pihak penyelia pelajar telah menarik balik laporan mereka atas tujuan menyelesaikan masalah itu secara baik," katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger