SABAK BERNAM - Siapa sangka, sebelum tahun 1950-an, Kampung
Lubuk Pusing, Bagan Terap dulunya adalah sebuah sungai yang merbahaya
disebabkan pusaran airnya yang berpusing-pusing dengan deras hingga
menenggelamkan kapal dagangan dan mengorbankan banyak nyawa.
Tidak hairanlah, apabila nama kampung itu berasal daripada
perkataan ‘lubuk pusing’ yang diambil sempena sebuah kawasan sungai yang
mempunyai sebuah lubuk dengan airnya berpusing-pusing.
Mengikut sejarahnya pula, sebahagian besar Kampung Lubuk
Pusing asalnya dari Sungai Bernam yang menjadi laluan kapal-kapal besar
menjalankan aktiviti perdagangan, namun terdapat misteri disebalik sungai itu!.
Kisah sungai berpusing-pusing ini menjadi igauan ngeri
kepada penduduk kampung dan kapal dagang setiap kali melalui kawasan ini ia
seolah-olah tak ubah seperti kawasan Segi Tiga Bermuda yang seringkali
dikaitkan sebagai kawasan misteri berikutan ratusan kapal laut dan kapal
terbang dilaporkan hilang di kawasan yang menjangkau keluasan sehingga 1.2
kilometer persegi.
Diasaskan pada tahun 1914
Kampung Lubuk Pusing terletak di Mukim Sungai Panjang ini
diasaskan Tuan Haji Chik atau namanya sebenar Sheikh Ahmad Marzuki pada 1914.
Sheikh Ahmad Marzuki berasal dari Kepulauan Sumatera,
Indonesia dan dipercayai bersama 40 rombongannya terdiri dalam kalangan ahli
keluarga dan rakannya datang ke kampung itu bagi mewujudkan penempatan baharu
ketika itu.
Sheikh Ahmad Marzuki yang terkenal sebagai seorang alim dan
berbudi pekerti luhur amat dihormati penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
Lubuk Pusing Bagan Terap, Mohd Razif Md Maini berkata, terdapat dua dakwaan
yang menyebabkan pusaran air itu menjadi surut seperti yang diketahuinya
melalui pembacaan dan ceritaan lisan daripada penduduk lama.
“Menjadi kebimbangan penduduk dan pedagang setiap kali
melalui sungai berpusing ini, maka mereka minta kewalian Sheikh Marzuki ini
untuk hentikan pusaran lubuk.
“Maka, Allahyarham Sheikh Marzuki bersama penduduk
mengadakan solat hajat bagi menghentikan pusaran air berpusing di sungai
terbabit yang menenggelamkan beberapa buah kapal dagang yang melalui sungai
ini.
“Ada satu cerita lagi, Sheikh Marzuki dipercayai melontarkan
serbannya ke dalam lubuk pusaran sungai itu hingga Allahyarham memberitahu
dengan rakan dan saudara terdekat bahawa suatau masa kawasan ini akan jadi
daratan,” katanya.
Menurut Mohd Razif, sejak peristiwa itu, berlaku perubahan
pada aliran sungai dan dasar sungai yang menyebabkan pusaran air semakin cetek.
“Dengan mendapan demi mendapan berlaku, akhirnya kawasan
pusaran air atau lubuk pusing ini menjadi daratan dan menjadi kawasan pertanian
subur.
“Kini pusaran air tersebut sudah tiada lagi disebabkan
bentuk muka bumi yang berubah. Air sungai tersebut juga sudah kering dan kini
menjadi daratan. Yang tinggal kini hanyalah empat tempat yang berbentuk
kolam-kolam air,” katanya.
Masjid berusia 100 tahun
Di sebalik cerita pusaran itu, Mohd Razif memberitahu,
terdapat beberapa cerita menarik kampung itu seperti pembinaan masjid yang
turut diasaskan Sheikh Marzuki di sebelah tapak rumahnya sejak kedatangannya ke
kampung berkenaan.
Nazir Masjid Marzukiah Kampung Lubuk Pusing, Norrodin
Khalil, 55, berkata, di masjid itu terdapat sebuah bangunan kayu lama yang
suatu ketika dahulu pernah dijadikan tempat pengikut tarikat Naqshabandariah
dari Sumatera bersuluk iaitu membersihkan hati dengan berzikir.
Katanya, bangunan itu kini kosong, namun ia masih dikekalkan
bagi memastikan ia terus menjadi bahan sejarah kepada generasi akan datang
termasuk sebuah perigi tempat mengambil air solat yang terletak
bersebelahannya.
“Jemaah suluk suatu ketika dahulu dari segenap pelusuk tanah
air setiap kali bulan Rejab dan Syaaban akan tinggal beberapa hari di pondok
ini untuk berkumpul beramai-ramai dengan menunaikan ibadah dan berzikir,”
ujarnya.
Pengunjung singgah ambil air kolam
Selain itu, Norrodin yang juga sebahagian daripada keturunan
Sheikh Marzuki memberitahu, di sisi kiri hadapan masjid, terdapat makam Sheikh
Marzuki dan anaknya, Muhammad Ilham atau lebih dikenali sebagai Haji Ikhsan.
“Sheikh Marzuki berkahwin dua iaitu seorang isterinya di
kampung ini dan seorang lagi di Indonesia. Beliau mempunyai dua anak iaitu
Muhammad Sulamuddin dan Haji Ikhsan. Muhammad Sulamuddin berhijrah ke Kampung
Terjun Pelabuhan Keli Sumatera, manakala Haji Ikhsan terus menetap ke kampung,”
jelasnya.
Berhadapan makam itu, Norrodin berkata, terdapat sebuah
kolam yang didakwa pernah digunakan Sheikh Marzuki untuk mengambil wuduk dan
mandi.
Kata Norrodin, air dari kolam itu dipercayai mampu
menyembuhkan pelbagai penyakit dan ramai pengunjung yang datang dari jauh
semata-mata ingin mengambil berkat air dari kolam terbabit.
“Setiap hari pasti ada yang singgah ke sini untuk mengambil
berkat air kolam yang pernah digunakan Sheikh Marzuki. Mungkin ini ikhtiar kita
untuk merawat tetapi kuasa ALLAH yang menyembuhkan,” jelasnya yang memberitahu
masjid yang berusia 100 tahun itu masih mengekalkan ciri-ciri binaan
tradisionalnya sehingga sekarang.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment