Monday, May 26, 2014

Maafkan saya Malaysia: Daren

9:08 AM No Comments

Kapten skuad negara, Liew Daren memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal memberikan mata kemenangan kepada pasukan untuk menamatkan kemarau selama 22 tahun menjulang trofi Piala Thomas selepas tewas kepada Jepun 2-3, malam tadi.

Daren yang diturunkan sebagai perseorangan ketiga diletakkan harapan menggunung untuk menghadiahkan mata kemenangan selepas Malaysia terikat 2-2 dengan Jepun tetapi tewas kepada Takuma Ueda 12-21, 21-18, 17-21.

Semangat juang tinggi

Begitupun, semangat juang tinggi ditunjukkan Daren wajar diberikan pujian kerana dia tidak mudah menyerah kalah biarpun tewas pada set pertama.

"Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya sudah berikan aksi terbaik tetapi jika ada juga pihak yang mahu salahkan saya, saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya selepas perlawanan malam tadi.

Buktikan kemampuan

Daren berkata, dia memang terlalu mahu memberikan kemenangan kepada skuad negara selain membuktikan kemampuan sebenarnya selepas aksi hambarnya dalam dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini.

"Apa yang saya boleh katakan, perlawanan ini sedikit sebanyak memberikan motivasi dan pengajaran berguna kepada saya untuk menghadapi kejohanan seterusnya nanti.

Saya tidak akan berputus asa sebaliknya akan terus memperbaiki kelemahan diri," katanya yang berterima kasih kepada barisan jurulatih kerana memberikan kepercayaan kepadanya apabila menurunkannya pada perlawanan itu.

Sumber : http://www.bharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger