KULIM - Pengguna jalan raya di antara Kulim ke Junjung
meminta supaya pihak terlibat melebarkan beberapa selekoh berbahaya di kawasan
itu bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.
Pekerja industri, Mohd Nizam Ariffin berkata, kebanyakan
mereka yang terlibat dalam kemalangan terdiri dari penunggang dan pembonceng
motosikal.
Katanya, masalah semakin serius terutama pada waktu malam
dan keadaan hujan.
“Apa yang pasti, selekoh tajam yang ada di kawasan ini harus
diperlebar. Memang banyak kemalangan maut berlaku di sekitar selekoh jalan
Kulim Junjung ini,” katanya.
Ahli Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) Hadzir Abdullah
berkata, sebelum ini memang ada perancangan untuk melebarkan setiap selekoh di
Jalan Kulim Junjung bagaimanapun gagal dilaksanakan kerana ia melibatkan tanah
individu.
Menurutnya, apabila ini berlaku, kerajaan negeri atau
kerajaan pusat terpaksa membeli tanah terlibat bagi tujuan melebarkan jalan.
Beliau berkata, ini bukan sahaja memakan kos yang tinggi
sebaliknya mengakibatkan pengguna jalan memandu lebih laju kerana jalan lurus.
“Saya mencadangkan supaya pengguna mematuhi papan tanda yang
dipasang di sekitar kawasan itu. Tanda amaran juga diletakkan untuk
mengingatkan mereka supaya berhati-hati.
"Sekiranya pengguna jalan lebih peka terhadap masalah
ini, saya percaya kemalangan maut dapat dikurangkan,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment