Monday, February 17, 2014

Liyana Jasmay pilihan Shaheizy Sam

11:21 PM No Comments


PADUAN vokal dua ikon industri hiburan tanah air, Shaheizy Sam dan Liyana Jasmay menerusi single terbaharu mereka, Bangun ternyata mempunyai keunikan tersendiri.

Dihasilkan menerusi kempen Nescafe On Sam, single ciptaan terbaharu komposer terkenal Audi Mok itu merupakan sebuah naskhah yang berkisar tentang perjalanan hidup Sam sepanjang kariernya sebagai penggiat seni lakonan dan nyanyian tanah air.

Penghasilan Bangun tercipta melalui percambahan idea kira-kira 50,000 peminat Sam yang menghantar cadangan lirik sepanjang dua bulan kempen Nescafe On Sam berlangsung.

Menurut Sam yang popular menerusi single duetnya bersama Yana Samsudin berjudul, Begini Caranya itu, dia sudah lama berhasrat untuk menyampaikan lagu hasil sumbangan lirik daripada peminatnya.

Sam menambah, melalui penghasilan lagu itu, ia dapat merapatkan hubungan antara peminatnya.

Selain itu, dia merasakan lagu tersebut sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang banyak membantunya untuk terus bertahan dalam dunia hiburan ini.

“Saya sungguh bersyukur menerusi penghasilan lagu itu, walaupun lahirnya saya dalam bidang hiburan bukan daripada bidang nyanyian, saya berusaha untuk menyampaikan lagu tersebut dengan cara saya sendiri.

“Saya senang bekerja bersama Audi Mok kerana dia memahami saya. dia tidak pernah mengkritik malahan memberi saya motivasi untuk terus bernyanyi,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single tersebut di Talent Lounge, Pusat Dagangan Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dalam pada itu, ujar Sam, dia tidak bercadang untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai profesion utamanya.

Namun hero filem Adnan Sempit itu berkata, dia tidak pernah terfikir untuk berhenti daripada bidang nyanyian.

“Berlakon merupakan karier saya, dan bidang nyanyian adalah salah satu cabang seni yang saya minati,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Liyana Jasmay sebagai artis duetnya, Sam berkata, dia memilih Liyana disebabkan penampilan dan gaya Liyana yang dikatakan berlainan daripada artis lain.

“Saya memilih Liyana sebagai artis duet disebabkan dia mempunyai gaya dan attitude yang tersendiri.

“Bagi saya, kesempurnaan vokal tidak penting. Apa yang penting, lagu tersebut dapat disampaikan dengan cara kami tersendiri.

“Selain itu, kami rasa senang bekerja bersama disebab sudah kenal lama sejak zaman persekolahan lagi,” ujar Sam yang bakal membintangi filem baharu, Adnan Sempit Sawadikap.

Dalam pada itu, penyanyi dan pelakon comel, Liyana Jasmay kelihatan ceria apabila ditanya mengenai penglibatannya dengan single Bangun.

“Saya rasa ini merupakan satu penghormatan kepada saya untuk bekerjasama dengan Sam dan Audi Mok, memandangkan ini merupakan projek yang pertama antara kami. Saya rasa amat selesa bekerjasama dengan mereka,” ujarnya yang kini sarat mengandung anak pertama yang dijangka lahir pada bulan April ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perniagaan Minuman Nestle, Jasmmine Wong berkata, pemilihan konsep tersebut bertujuan memberi ruang kepada peminat Sam untuk lebih rapat bersama idola mereka di samping mengembangkan bakat nyanyiannya.

“Kami menerima maklum balas yang amat positif daripada peminat Sam sepanjang dua bulan kempen tersebut berlangsung.

“Ia merupakan satu penghormatan kepada kami untuk terus menjadi orang kuat di sebalik perjalanan karier nyanyian Sam pada masa akan datang,” katanya.

Penonton yang ingin melihat klip video Bangun boleh melayari YouTube dengan kata kunci Bangun 

Sumber : http://www.kosmo.com.my





0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger