Wednesday, February 26, 2014

Budak maut digilis kereta jiran

8:09 PM No Comments

Sabak Bernam: Seorang budak lelaki berusia lapan tahun maut digilis sebuah kereta dipandu jirannya dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Sekinchan, di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, pemandu berusia 59 tahun berkenaan dikatakan baru keluar dari rumahnya sebelum memberhentikan seketika keretanya kerana mahu mencari sesuatu dari dalam kereta itu.

Namun, sebaik menemui apa yang dicari, lelaki itu meneruskan perjalanan sebelum tersedar seperti terlanggar sesuatu lalu keluar dari kenderaan untuk memeriksa.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, sebelum kejadian, lelaki berkenaan dikatakan sedang mencari dokumen tertentu dan sejurus menemuinya, dia terus memandu, namun terkejut apabila terdengar dentuman sebelum kenderaannya bergoyang seolah-olah terlanggar sesuatu.

“Sejurus keluar memeriksa keadaan kereta, dia terkejut apabila mendapati seorang kanak-kanak terbaring berlumuran darah di hadapan kenderaan dan kejadian turut disaksikan seorang jirannya yang segera mendapatkan ahli keluarga mangsa.

“Sejurus dimaklumkan, ahli keluarga mangsa segera membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Tanjung Karang, namun dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Mangsa, Pua Yen An, 8, dipercayai mati dalam perjalanan ke hospital dan mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarga.

Harian Metro difahamkan, laporan mengenai kejadian itu dibuat bapa mangsa yang berusia 37 tahun itu kira-kira jam 10 malam di Balai Polis Sabak Bernam dan polis sudah menahan pemandu kenderaan terbabit sebelum keterangannya diambil untuk membantu siasatan.

Sehubungan itu, Noor Mushar menasihatkan orang ramai agar memandu secara lebih berhati-hati bagi mengelak berlaku kemalangan yang boleh membawa kerosakan harta-benda atau kematian.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger